Mengenai ILMIA
Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) yang dikenali hari ini sesungguhnya lahir daripada permulaan yang serba sederhana. Pada November 2005, Jemaah Menteri meluluskan penubuhan sebuah institut yang bebas dan dikenali sebagai Institut Perburuhan Malaysia (INPEK) untuk melaksanakan dan menyelaraskan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang buruh dan guna tenaga. INPEK kemudiannya diberi identiti baharu sebagai Institut Sumber Manusia Kebangsaan (ISMK) pada tahun 2007. Pada dasarnya, penubuhan ISMK berperanan sebagai sebuah pusat penyelidikan kepakaran kebangsaan untuk perancangan dan pembangunan sumber manusia; hubungan industri dan undang-undang pekerjaan; pasaran buruh dan hal-hal berkaitan dengan guna tenaga. Fungsi ISMK turut merangkumi penyediaan pendidikan dan latihan bagi buruh dan guna tenaga menerusi penganjuran pelbagai seminar, bengkel, dialog, persidangan dan kursus. Satu lagi misi utama ISMK adalah untuk menyokong dasar dan strategi pembangunan sumber manusia kerajaan menerusi penyediaan input-input berasaskan bukti mengenai buruh dan guna tenaga.
Ketika Model Ekonomi Baru (New Economic Model, NEM) dan tunasnya, iaitu Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme, ETP) diperkenalkan pada 30 Mac 2010, Malaysia dilaporkan tidak mempunyai satu sumber peringkat kebangsaan yang khusus dan diiktiraf berkaitan dengan data yang komprehensif mengenai pasaran buruh. Kelemahan ini memberikan impak terhadap usaha negara untuk merumuskan dasar pembangunan sumber manusia yang berkesan, yang merupakan sebuah prasyarat bagi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. Pada 19 April 2011, sebuah Cabinet Workshop telah membentangkan hasil penemuan daripada Human Capital Development Lab yang dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri. Salah satu hasil makmal berkenaan bersetuju dengan cadangan untuk menjenamakan semula ISMK menjadi Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA). Penjenamaan semula ILMIA ini telah berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Mei 2012. ILMIA dihasratkan untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan kebangsaan yang bebas di bawah pengawasan langsung Kementerian Sumber Manusia, Malaysia bagi analisis trend pasaran buruh dan isu modal insan terbaharu yang akan membolehkan perancangan sumber manusia yang lebih mantap dan perumusan dasar buruh yang lebih berkesan.
Tidak lama selepas penubuhannya pada Mei 2012, ILMIA terus ditempatkan di lokasi asalnya sebelum ini, iaitu di pejabat Kementerian Sumber Manusia, Tingkat 7, Blok D3, Kompleks D, Putrajaya. ILMIA kemudiannya berpindah ke pejabatnya pada hari ini di Cyberjaya pada 15 Disember 2012.