Soalan Lazim
Apakah fungsi ILMIA?
ILMIA berfungsi sebagai pusat maklumat data perburuhan dan analisis untuk pasaran buruh di Malaysia. Di ILMIA, kami bertanggungjawab untuk memastikan data yang diperoleh adalah tepat dan terkini serta memudahkan proses perkongsian data kepada pengguna. ILMIA juga dipertanggungjawabkan sebagai agensi untuk membuat penyelidikan/kajian berkaitan dengan pasaran buruh di Malaysia. Hasil daripada kajian tersebut akan diterbitkan dan dijadikan panduan untuk membuat dasar berkaitan dengan perburuhan negara.
Apakah jenis data yang boleh diperoleh daripada ILMIA?
Antara data yang boleh diperoleh termasuklah data berkaitan dengan penunjuk utama pasaran buruh, penawaran dan permintaan mengikut ekonomi sektor dan di bawah NKEAs, purata gaji mengikut sektor, dan kemahiran mengikut pekerjaan.
Siapakah pengguna portal ILMIA ini?
Pengguna mencakupi kerajaan, penyelidik bebas, para majikan, pelajar dan orang ramai. Oleh itu, portal ILMIA boleh dimanfaatkan untuk semua kategori pengguna kerana bahasa yang digunakan adalah ringkas dan mudah difahami oleh semua.
Dari manakah ILMIA memperoleh sumber data untuk membuat analisis?
Sumber data diperoleh melalui pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bank Negara Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain.
Apakah perbezaan terma tenaga buruh dengan guna tenaga?
Tenaga buruh merujuk kepada semua penduduk di dalam Malaysia yang berumur lingkungan 15 hingga 64 tahun dan mereka berada dalam keadaan bekerja atau menganggur. Manakala guna tenaga pula merujuk kepada mereka yang melakukan sebarang pekerjaan untuk mendapatkan bayaran, keuntungan atau keuntungan keluarga (sebagai majikan, pekerja, pekerja sendiri atau pekerja keluarga tanpa gaji).
Apakah definisi pengangguran dan kadar pengangguran?
- Pengangguran bermaksud penduduk yang berumur dalam lingkungan 15-64 tahun dalam kategori guna tenaga yang bersedia dan masih aktif mencari kerja lagi.
- Kadar pengangguran bermaksud jumlah penganggur berbanding dengan jumlah guna tenaga dalam konteks peratusan.
Apakah yang dimaksudkan dengan luar tenaga buruh dan apakah perbezaannya dengan pengangguran?
Luar tenaga buruh merujuk kepada orang yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur termasuklah suri rumah, pelajar, pesara dan individu yang tidak berminat mencari pekerjaan. Manakala pengangguran bermaksud mereka yang masih belum mendapat pekerjaan lagi tetapi bersedia dan aktif mencari kerja.
Adakah kadar pengangguran di Malaysia lebih baik berbanding dengan negara lain?
Keseluruhannya, kadar pengangguran di Malaysia adalah dalam purata 3.4% (2016). Kadar ini adalah rendah berbanding dengan Australia (5.8%) dan Brazil (5.6%). Kadar pengangguran Malaysia pada asasnya adalah stabil dan mencapai tahap guna tenaga penuh. Walaupun secara dasarnya, kadar pengangguran yang lebih rendah menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang kukuh, kadar pengangguran tidak akan mencapai 0% kerana akan sentiasa ada pengangguran yang disebabkan oleh, contohnya, pekerja yang berpindah ke tempat kerja baharu atau peralihan teknologi.
Bagaimanakah saya boleh mendapatkan buku-buku penerbitan ILMIA?
Buku dan jurnal penerbitan ILMIA boleh didapati dalam salinan lembut (softcopy) secara dalam talian (online) menerusi bahagian penerbitan. Selain itu, pengguna boleh memohon secara bertulis atau berkunjung ke pejabat ILMIA untuk mendapatkan naskhah bercetak (hardcopy).